KEHILANGAN YANG AMAT PEDIH

Pemergian bonda tercinta menerima jemputan Illahi sangat mengejutkan kami sekeluarga. Satu pemergian yang tidak akan ada kembalinya.

Payah dan perit untuk aku terima. Kerana aku merasakan hidup aku tidak sempurna tanpa dia. Aku tidak dapat berada bersama dia di saat-saat akhir dia dijemput sakaratul maut.

Sapa yang tak terkilan. Sepanjang masa aku bersama dia. Tidak pernah aku meninggalkan dia dalam jangka masa panjang sepanjang aku kembali menetap di rumah. Aku sentiasa disisi dia. Tapi selepas hanya sehari aku meninggalkan dia, dia pula pergi meninggalkan aku selama-lamanya.

Dialah tempat aku bermanja, menagih kasih. Tempat aku bersembang meluahkan isi hati. Tempat aku bercerita itu dan ini.

Sekarang, kemana lagi tempat yang hendak aku tuju? Siapa lagi teman untuk aku berbicara. Kadang-kadang terfikir aku, sampai hati dia meninggalkan aku dalam keadaan aku belum bersedia menerima kehilangan dia.

Aku tahu aku banyak berbuat dosa kepada dia. Tak tertebus dosa aku tanpa pengampunan dari dia. Tempat aku telah tersedia di neraka. Entah dia maafkan aku atau tidak.

Hidup aku perlu diteruskan sementara menunggu aku dijemput menyertai bonda. Tapi berkatkah kehidupan aku selepas ini? Selamatkah masa depan aku selepas ini?
Layakkah anak yang banyak berdosa ini untuk hidup melata dibumi tuhan.

Haih! entahlah. Ini agaknya yang dinamakan penyesalan tak sudah. Berpuluh tahun menagih redha bonda pengakhirannya pula menjadi anak derhaka. Aku takut menjadi anak derhaka. Tidak ada apa lagi yang perlu aku kejar. Cukuplah apa yang ada sementara menunggu maut menjemput tiba.

Bonda,

Anakanda sayangkan bonda. Ampunkan dosa anakanda dari hujung rambut sehingga kehujung kaki. Halalkan susu yang anakanda minum. Anakanda takut menjadi anak derhaka. Anakanda tak mampu nak tahan seksaan api neraka. Redhalah kehidupan anakanda yang sementara ini.

Wahai Bonda,

Damailah engkau di sana. Anakanda akan sentiasa mengiringi bonda dengan doa. Rehatlah disana dengan aman. Tiada lagi sakit dan demam. Tiada lagi sakit suntikan insulin. Tiada lagi rasa hati bonda kononya bonda ini menyusahkan anak-anak. Tiada lagi sakit pinggang dan lutut. Tiada lagi susah bonda untuk pergi ke bilik air. Tiada lagi sakit dihati bonda kerana perangai kami anak-anak yang tidak mengenang budi.

Duhai Bonda,

Baringla bonda, sementara menunggu anakanda datang menemani bonda disana. Bukan lama mana pun anakanda hendak ke sana. Pejam celik, pejam celik tau-tau anakanda dah ada disana bersama-sama bonda. Tak sabar rasanya.

Anakanda sayang bonda. Bondalah segala-galanya buat anakanda. Bondalah dunia anakanda. Bondalah nyawa anakanda. Apalah hidup anakanda tanpa mu bonda.

Bersemadilah dengan tenang di sana.