Hari ke 7

Hari ni genap hari ke 7 bonda pergi meninggalkan aku. Terasa macam baru semalam bonda meninggalkan aku. Hidup aku dah langsung tak sama. Serba tak kena. Bahu ni terasa berat sangat. Umpama memikul dosa yang amat besar. Umpama memikul dosa yang tak terampun.

Di saat bonda pergi aku tidak berada di sisi. Tega aku meninggalkan arwah pergi menemuiNya seorang diri. Anak lelaki yang diharapkan ini tidak membacakan kalimah tauhid semasa beliau bergelut dengan sakaratulmaut. Aku tak sempat memohon maaf. Aku juga tak sempat mendengar lafaz maaf dari bonda.

Haih! Petanda apakah ini. Adakah petanda aku ini anak derhaka? Adakah pentanda aku ini anak yang tidak berguna?

Bagaimana bisa aku mencari semangat aku yang kian pudar. Dimana hendak aku cari kekuatan aku yang telah sirna.

Teringat-ingat kali terakhir aku menyapu lutut bonda dengan minyak angin. Bonda kata lututnya sakit. Kali terakhir juga petang itu aku mencium pipi bonda sebelum aku melangkah keluar meninggalkan bonda.

Bonda,

Andaiku tahu ajal akan menjemputmu, takan ku tinggalkan engkau sendirian menghadapi kesakitan itu. Andaiku ku tahu itu adalah kali terakhir kukucup pipimu, takan kulepas kucupan itu seumur hidupku.

Bonda,

Apalah hidup anakanda andai kata tidak mendapat redha dan restu bonda. Bagaimana anakanda hendak meneruskan kehidupan andai kata anakanda ini anak derhaka. Ampunilah anakanda, anakanda takut menjadi anak derhaka. Restuilah kehidupan anakanda.

Biar nyawa jadi galang gantinya, andai tertangkup langit dan bumi, namun kasih anakanda kekal abadi buatmu bonda..

Al Fatihah…