another year


Another date to count, another  year to go. Setiap tahun baru, setiap itu juga aku menyambut hari lahir. Setiap kali hari lahir, setiap kali itu jugak aku mencipta pelbagai kenangan baru. Kenangan yang tidak mampu untuk dilupakan… ada juga yang mahu dilupakan.

Tahun berganti tahun, memendekkan tempoh untuk aku bernafas di bumi tuhan ini. Tiada lupa untuk aku menjengok masa silam sekadar mencari panduan untuk menghadapi hari esok. Kesilapan demi kesilapan yang mungkin tidak dapat diperbetulkan lagi. Keputusan demi keputusan yang pernah menceriakan satu pihak dan melukakan pihak yang satu lagi.

Walau setakut mana pun aku mahu bertemu hari esok, hari esok tetap datang. Masa tidak sesekali undur dibelakang. Mahu atau tidak, aku harus hadapi. Sesakit mana pun hari esok, itulah pahit yang harus aku telan.

Orang boleh berkata kata, memberi idea, tapi yang mahu mengota segala kata itu, aku. Kalau pun ada yang mahu berkongsi, sekadar hanguk dan geleng sahaja. Mereka dengar, tapi aku yang rasa. Penat, sakit, perit, pedih sekadar pendaman saja.

Aku mahu tidak peduli cakap orang yang mahu bercakap itu. Umpama kudis kering yang akan luput kerupingnya. Pedih sakit mulanya, tapi tidak lama, walaupun berparut juga.

Aku mahu peduli orang yang tempatnya duduknya di hati ini. Jika mereka terluka, tidak hanya hati mereka sahaja yang berdarah. Jika mereka sakit, hati aku yang mereka huni ini turut rasa sakitnya. Mengeluarkan mereka dari dalam hati ini umpama menyiat kulit dari dagingnya.

Cukuplah aku dengan orang yang aku sayang yang menyayangi aku. Cukuplah kiranya mahu nafas ini terhenti di atas ribaan kesayangan hati hamba.

Cukuplah aku tersilap sayang. Cukuplah aku tersilap disayang. Cukuplah silap aku meninggalkan orang yang aku sayang untuk orang yang aku sayang. Akhirnya orang yang aku paling sayang meninggalkan aku selama-lamanya.

Semuanya silap aku. Aku bermusabah dan bermuhasabah. Salah menyalah tidak akan ada penghujungnya. Kalau pun ada hujungnya hanya bila jantung berhenti berdetak detup. Cukuplah aku yang silap dan berilah peluang mencipta betulnya pula.

Pejam mata rapat-rapat. Tautkan tangan menadah doa. Semoga esok yakni tahun yang baru ini dipermudahkan segalanya. Di angkat halangan dan duri duka. Diberi kesempatan menjadi hambanya yang lebih bertakwa. Aku mahu menoktahkan ketidaktentuan ini selama-lamanya.

Biarlah apa yang aku bina selepas ini bukan dari remuk redam hati sesiapa. Bukan dari tangis air mata duka. Bukan atas sumpah seranah kata nista. Bukan dari dendam kesumat yang panas membara. Bukan dari kebencian yang mencemar aura.

Aku mahu mulakan hari esok dengan hembus dingin takbir kesyukuran, sedingin titisan air mata yang mengharap belas ehsan dari yang Satu. Kirimkanlah aku wahai yang Maha Perkasa seorang makmum untuk sama-sama tadahkan doa. Mengharap teman kembara dunia. Di akhirat sana bertemu jua.

Sesungguhnya aku sedar, aku bukanlah manusia sempurna.

— Selamat tahun baru, selamat hari lahir aku—

Terima kasih mama kerana melahirkan, membesar dan mendidik aku. Terima kasih kerana menghilangkan dahaga aku dengan susuanmu. Terima kasih atas limpahan kasih sayang hingga hujung nyawa. Terima kasih kerana kamu, akulah aku hari ini.

Al-Fatihah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s