Bahagian

Setiap kita ada bahagian masing-masing. Ketetapan Sang Pencipta. Hatta seketul batu  telah Dia tetapkan di mana tempatnya.

Masalahnya ialah kita.

Selalu membanding-banding. Bandinganya kita dan orang lain. Mahukan apa yang orang lain ada. Mahukan kehidupan kita seperti mereka atau mahukan kehidupan mereka seperti kita.

Bukankah Allah telah tetapkan bahagian masing-masing. Bukankah tempat kita adalah selayaknya kita berada.

Sementelahlah sifat manusia yang tidak pernah puas karuniaNya walaupun bibir hampir letih mengucapkan syukur. Plastik!

Yang bujang inginkan kehidupan berumahtangga. Yang berkeluarga inginkan kembali zaman bujang. Masing-masing mencemburui kehidupan masing-masing. Pelik!

Bila syukur hanya sebuah kata-kata dan metafora. Inilah jadinya.

Hidup ini satu pilihan. Ada jalan yang tidak ada titik kembali. Ada jalan boleh berpatah arah.

Kita yang katanya berakal ini silalah memilih. Jangan bila salah pilih disalahkan orang sekeliling.

Apa yang kita ada hari ini, detik ini, waktu ini,.. nikmatilah. Selepas jarum saat beralih tempat, detik ini tak mungkin berulang kembali.

Selepas jarum saat berganti-gantian… semuanya akan berakhir sebagai sebuah kenangan. Memori yang kelak menjadi memoir.

Ini Bahagian aku. Aku terima seadanya. Kalau mahu menghela nafas sesal sekalipun….apa gunanya.

Muhasabahlah wahai aku…

Titik.

 

Advertisements

kehilangan

Dah lama tidak menulis. takda apa yang nak menulis. Takda yang menarik pun nak di kongsi

Pejam celik pejam celik dah berganti tahun. Cepat sungguh masa berlalu. Peningkatan umur harapnya semakin mematangkan.

Masa lalu sebagai wadah memperbaiki masa hadapan. Kita ni manusia. Pasti kita tidak sempurna. Pasti kita banyak buat silap. Haihhh…. mengeluh..

Walau aku tahu keluhan semata-mata tidak mampu mengubah apa-apa.

Yang penting mesti ada refleksi diri. Aku pun sama. Reflek diri sendiri. Sebelum terlambat. Sebelum segala-galanya terlambat.

Aku mohon maaf lebih awal. Dengan kuantiti permohonan maaf yang maha banyak kepada semua orang. Kepada kamu, kepada dia.

Aku mohon maaf kerana gagal menilai diri sendiri. Membiarkan diri terapung bersama arus masa.

Aku mohon maaf kerana gagal menilai yang mana intan yang mana kaca.

Haihhhh…. mengeluh lagi…

Sementelahlah aku ini manusia biasa. Menilai orang, dinilai orang. Mengata dan dikata. Mengeji dan dikeji. Menyalahkan dan disalahkan.

Aku mohon maaf kerana aku tahu perjalanan aku semakin dekat ke penghujung.

Seperti cepatnya tahun berganti, seperti itulah dekatnya destinasi abadi.

Perit pedih sebuah kehilangan sangat tidak tertanggung. Luka sentiasa merah. Merah sampai bila-bila.

Maafkan aku.

 

 

Selamat tinggal Ramadhan dan Syawal Selamat Datang Zulkaedah dan Zulhijjah

 

DSC_0387

 

 

Syawal dan Ramadhan pun berakhir sudah. Sekarang tibalah giliran Zulkaedah dan kemudiannya Zulhijjah. Maka berakhirlah satu lagi pusingan tahun dalam kalendar Islam.

Perhatikan masa.  Masa akan mengubah segalanya. Tiada yang kekal jika kita berurusan dengan masa.

Kerana itu, manusia juga akan terkesan dengan masa. Manusia sentiasa berubah seiring perubahan waktu. Baik pada fizikal ataupun spiritual. Ke arah yang lebih baik atau sebaliknya.

Setiap ciptaan Allah ada masanya masing-masing. Sehinggalah masa berhenti berdetik untuk mereka.

Tiada kudrat yang mampu melawan masa.

Sebagai manusia biasa. berhentinya putaran masa hanyalah pada penaakulan dan akal fikiran. Yang menyekat dan tersekat pada masa lalu.Mainan taakulan dan emosi. Kawalan fikiran sedar ataupun separa sedar. Beku pada zaman lalu.

Peliklah jadinya akal sendiri kalau kita ingat manusia itu tetap dan tidak berubah. Fizikal atau emosinya dipaksa meruntun masa. Tiada pilihan.

Maafkanlah mereka, maafkanlah aku yang terkhilaf di dalam lenturan masa.

Jika ada sakit di hati, patah riuk remuk redam. InsyaAllah, masa adalah ubatnya. Berilah masa, masa….

Salam Zulkaedah…Salam Merdeka…

 

titik

 

petunjuk

Bila kita lost, selalu kita cari tuhan. Mintak petunjuk. Kadang-kadang Dia bagi petunjuk secara jelas, kadang-kadang Dia bagi secara tersembunyi. Dia nak suruh kita tafsir sendiri.

Mungkin juga kita  telah terima jawapan yang selama ni kita cari. Mungkin juga tidak. Mungkin kita tidak sedar kerana kita belum mahir mentafsir apatah lagi melihat.

Jika benar aku telah diberi jawapan, maka permudahkanlah jalan yang aku pilih ini kelak. Jika tidak, penantian itu harus aku teruskan. Bantulah aku wahai Raja segala raja.

 

Titik.

another year

Another date to count, another  year to go. Setiap tahun baru, setiap itu juga aku menyambut hari lahir. Setiap kali hari lahir, setiap kali itu jugak aku mencipta pelbagai kenangan baru. Kenangan yang tidak mampu untuk dilupakan… ada juga yang mahu dilupakan.

Tahun berganti tahun, memendekkan tempoh untuk aku bernafas di bumi tuhan ini. Tiada lupa untuk aku menjengok masa silam sekadar mencari panduan untuk menghadapi hari esok. Kesilapan demi kesilapan yang mungkin tidak dapat diperbetulkan lagi. Keputusan demi keputusan yang pernah menceriakan satu pihak dan melukakan pihak yang satu lagi.

Walau setakut mana pun aku mahu bertemu hari esok, hari esok tetap datang. Masa tidak sesekali undur dibelakang. Mahu atau tidak, aku harus hadapi. Sesakit mana pun hari esok, itulah pahit yang harus aku telan.

Orang boleh berkata kata, memberi idea, tapi yang mahu mengota segala kata itu, aku. Kalau pun ada yang mahu berkongsi, sekadar hanguk dan geleng sahaja. Mereka dengar, tapi aku yang rasa. Penat, sakit, perit, pedih sekadar pendaman saja.

Aku mahu tidak peduli cakap orang yang mahu bercakap itu. Umpama kudis kering yang akan luput kerupingnya. Pedih sakit mulanya, tapi tidak lama, walaupun berparut juga.

Aku mahu peduli orang yang tempatnya duduknya di hati ini. Jika mereka terluka, tidak hanya hati mereka sahaja yang berdarah. Jika mereka sakit, hati aku yang mereka huni ini turut rasa sakitnya. Mengeluarkan mereka dari dalam hati ini umpama menyiat kulit dari dagingnya.

Cukuplah aku dengan orang yang aku sayang yang menyayangi aku. Cukuplah kiranya mahu nafas ini terhenti di atas ribaan kesayangan hati hamba.

Cukuplah aku tersilap sayang. Cukuplah aku tersilap disayang. Cukuplah silap aku meninggalkan orang yang aku sayang untuk orang yang aku sayang. Akhirnya orang yang aku paling sayang meninggalkan aku selama-lamanya.

Semuanya silap aku. Aku bermusabah dan bermuhasabah. Salah menyalah tidak akan ada penghujungnya. Kalau pun ada hujungnya hanya bila jantung berhenti berdetak detup. Cukuplah aku yang silap dan berilah peluang mencipta betulnya pula.

Pejam mata rapat-rapat. Tautkan tangan menadah doa. Semoga esok yakni tahun yang baru ini dipermudahkan segalanya. Di angkat halangan dan duri duka. Diberi kesempatan menjadi hambanya yang lebih bertakwa. Aku mahu menoktahkan ketidaktentuan ini selama-lamanya.

Biarlah apa yang aku bina selepas ini bukan dari remuk redam hati sesiapa. Bukan dari tangis air mata duka. Bukan atas sumpah seranah kata nista. Bukan dari dendam kesumat yang panas membara. Bukan dari kebencian yang mencemar aura.

Aku mahu mulakan hari esok dengan hembus dingin takbir kesyukuran, sedingin titisan air mata yang mengharap belas ehsan dari yang Satu. Kirimkanlah aku wahai yang Maha Perkasa seorang makmum untuk sama-sama tadahkan doa. Mengharap teman kembara dunia. Di akhirat sana bertemu jua.

Sesungguhnya aku sedar, aku bukanlah manusia sempurna.

— Selamat tahun baru, selamat hari lahir aku—

Terima kasih mama kerana melahirkan, membesar dan mendidik aku. Terima kasih kerana menghilangkan dahaga aku dengan susuanmu. Terima kasih atas limpahan kasih sayang hingga hujung nyawa. Terima kasih kerana kamu, akulah aku hari ini.

Al-Fatihah

kupilih hatimu

Sepuluh kali ulang lagu ni dalam kereta time pegi dan balik kereta. Tak tau kenapa lately macam jadi lagu tema pergi keja plak.

Agaknya masa dah time kot..  tanda soal….

titik..